Pages

Sembang Pasal: Bantah kempen politik, 3 siswa berdepan JK disiplin



Bantah kempen politik, 3 siswa berdepan JK disiplin


tiga mahasiswa Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Johor berdepan dengan tindakan tegas termasuk kemungkinan dibuang universiti selepas didakwa membuat representasi video membantah dakwaan kempen politik melalui satu program universiti.




Mereka didakwa membuat rakaman video tanpa mendapat kebenaran daripada Naib Canselor Prof Datuk Dr Noh Dalimin berhubung kempen itu dalam program 'International Youth Day Unesco' pada 18 November lalu di kampus berkenaan.

Ketiga-tiga mahasiswa itu - Muhammad Saiful Farhan Mohamad Razi, Mohd Hidayatullah Masjud dan Ahmad Adam Samsudin - akan dihadapkan ke jawatankuasa tatatertib esok susulan penyiaran video bantahan itu pada 21 November lalu.

Muhammad Saiful Farhan dan Mohd Hidayatullah Masjud adalah pelajar fakulti kejuruteraan mekanikal dan pembuatan. Manakala Ahmad Adam adalah pelajar fakulti pengurusan teknologi, perniagaan dan keusahawanan.

Mereka menerima surat supaya menghadiri prosiding tatatertib itu pada 21 Mac lalu dengan dakwaan "melakukan representasi yang berhubung dengan universiti tanpa kebenaran naib canselor melalui rakaman video bertajuk "Mahasiswa UTHM bantah kempen politik melalui program univerisiti".

Ketika dihubungi Malaysiakini petang semalam, seorang jurucakap pro-Mahasiswa (Pro-M) mendakwa video bantahan itu disiarkan selepas tidak puas hati seorang timbalan menteri, Datuk Ahmad Maslan, yang didakwa memberi ceramah politik.

Universiti akan perjelas lepas prosiding

Jurucakap itu berkata ceramah itu berlangsung selama satu jam setengah bermula jam 9 malam di Dewan Tunku Ibrahim Ismail.

Jurucakap itu juga mendakwa pihak pengurusan universiti telah mengarahkan penghuni dari dua kolej kediaman - Tun Fatimah dan Tun Dr Ismail - menghadiri ceramah itu dan mengarahkan supaya bekalan elekrik di situ diputuskan.

Katanya, ketiga-tiga mahasiswa itu tidak bersetuju dengan sikap universiti yang "tidak profesional" membenarkan ceramah itu yang dilihat tidak selari nama program asalnya dan mendakwa "memaksa" pelajar turun ke majlis berkenaan.

"Pelajar kolej kediaman itu rasa tertipu kerana program berkaitan dengan hari belia, tetapi (menjadi) kempen politik dan (beliau didakwa) memainkan sentimen perkauman," katanya yang enggan namanya didedahkan.

Menurut jurucakap itu lagi, berdasarkan surat itu, jika ketiga-tiga mahasiswa itu didapati bersalah, mereka berdepan dengan satu atau gabungan daripada lima hukuman.

Hukuman itu ialah diberi amaran, denda sebanyak RM100, tidak dibenarkan berada di mana bahagian dalam universiti dalam tempoh yang ditetapkan, digantung pengajian dalam tempoh yang ditetapkan atau dipecat daripada universiti.

Sementara itu, Penolong Naib Canselor UTHM Prof Dr Amir Hashim Mohd Kassim berkata, pihaknya hanya akan memberikan penjelasan berhubung dakwaan itu esok.

"Terima kasih. Saya akan jelaskan selepas prosiding esok," katanya menjawab soalan Malaysiakini melalui SMS hari ini.

Kumpulan siswa pertikai kewajaran universiti

Prosiding tatatertib itu akan berlangsung jam 9.30 pagi di Bangunan Hal Ehwal Pelajar.

Malaysiakini juga sudah menghubungi timbalan menteri berkenaan tetapi tiada sebarang reaksi diberikan setakat ini.

Sementara itu, Gabungan Mahasiswa Islam seMalaysia (GAMIS) mempersoalkan tindakan pentadbiran universiti itu yang ingin mendakwa tiga mahasiswa berkenaan "hanya dengan dakwaan yang kami lihat kurang munasabah".

Dalam kenyataannya, presiden GAMIS, Muhammad Akmal Razali turut mempertikai kewajaran pihak universiti yang didakwa bertindak menutup bekalan elektrik di dua kolej kediaman "semata-mata mahu memaksa mahasiswa" menghadiri program itu.

"Perkara ini ternyata melanggar hak asasi mahasiswa di kolej kediaman tersebut," katanya sambil mendesak suaya universiti tidak mengambil tindakan yang didakwa boleh mencemarkan universiti itu sendiri.

"Universiti seharusnya menjadi tempat yang bebas daripada politik luar," tegas Muhammad Akmal.
Sumber
Klik=Sini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan