Pages
▼
Cara-Cara Memuji Si Isteri
Kajian menunjukkan puji-pujian yang diberi dengan ikhlas sentiasa menimbulkan perasaan positif kepada penerimanya. Orang-orang yang tidak suka memuji orang lain pun, apabila dia sendiri dipuji, dia pun berasa seronok juga.
Selama ini perbuatan memberi puji-pujian dianggap oleh kebanyakan orang sebagai perbuatan yang kurang baik. Ia dianggap begitu kerana di sebalik puji-pujian itu dikatakan selalu ada udang di sebalik batu, ataupun ada niat mengampu. Oleh itu perbuatan memuji-muji dianggap salah kerana tujuannya adalah manipulatif, atau memutar-belit orang yang diampu. Barangkali inilah faktor yang menyebabkan kita takut hendak mengucapkan puji-pujian secara terus terang dan terbuka. Kita takut dituduh ada udang di sebalik batu. Memang benar, amalan menggunakan puji-pujian untuk mengampu dan memutar-belit orang lain adalah amalan yang banyak berlaku.
Namun, pakar-pakar yang membuat kajian ke atas tingkah-laku mengampu mengatakan kita semua pernah mengampu serta memutar-belit orang, dan kita juga pernah menjadi mangsa kepada perbuatan mengampu dan putar-belit orang-orang lain ke atas diri kita. Biasanya, apabila kita memutar-belit orang, kita sendiri tidak perasaan bahawa kita sedang memutar-belit orang itu.
Tujuan utama mengapa kita mengampu dan memuji-muji ialah supaya orang yang kita puji-puji itu suka kepada kita, dan dengan cara itu kita berharap kita dapat mempengaruhinya.
Pada masa ini banyak terdengar seruan supaya suami-suami jangan berat mulut hendak memuji isteri. Dikatakan bahawa puji-pujian suami akan menyukakan hati isteri. Dengan itu isteri yang banyak menerima pujian akan berasa bahagia. Dikatakan juga, puji-pujian suami akan menambahkan lagi cinta dan kasih sayang isteri yang sedia ada.
Memang sudah disahkan oleh pakar-pakar bahawa biasanya puji-pujian dapat menyukakan hati isteri. Tetapi bolehkah puji-pujian membuat isteri bertambah cinta kepada suaminya? Lebih penting lagi, dapatkah puji-pujian dari suami membuat isteri menukar tingkah-laku, perangai, sikap dan pemikirannya negatif kepada yang lebih positif?
Pujian tidak sentiasa membuat orang yang dipuji berasa seronok. Perbuatan memuji-muji boleh menimbulkan kesan-kesan negatif kepada orang yang dipuji. Pertama, puji-pujian boleh membuat orang yang dipuji berasa dirinya terperangkap di dalam keadaan yang serba-salah, oleh itu dia tidak suka dengan pujian itu. Kedua, puji-pujian mungkin tidak disukai oleh si penerimanya kerana, secara tersirat, apabila dia dipuji, itu seolah-olah selama ini dia tidak bagus. Kalau orang itu memuji hasil kerjanya, orang yang dipuji mungkin berasa seolah-olah sebelumnya, dia disyaki tidak akan membuat kerja itu dengan baik. Ketiga, selepas mendengar puji-pujian itu, orang yang dipuji mungkin mulai risau kerana dia sedar dirinya sedang diperhatikan oleh si pemuji.
Di dalam keadaan yang bagaimanakah sesuatu pujian itu dianggap ikhlas ataupun cuma mengampu sahaja oleh orang yang dipuji? Ini terpulang kepada bagaimana orang yang dipuji menerima dan mentafsirkan pujian itu.
Katakanlah, seorang suami memuji-muji lauk yang dimasak oleh isterinya. Apakah yang mungkin terjadi?
Pertama, si isteri mungkin menyangka suaminya memuji-muji lauknya dia kerana “ada undang di sebalik batu” iaitu suaminya menghendaki sesuatu daripadanya. Jika itulah tafsiran si isteri, pujian si suami bukannya membuat si isteri suka hati malah ia boleh menyakitkan hatinya. Dalam keadaan begitu, pujian si suami tidak membuat si isteri bertambah kasih kepada suaminya. Mungkin si isteri rasa menyampah pula.
Kedua, si isteri mungkin menyangka memang tabiat suaminya sangat murah dengan puji-pujian kepada sesiapa sahaja. Jadi, si isteri tidak berapa seronok dengan pujian itu kerana dia tahu suaminya tidak memilih-milih orang apabila memuji. Pujian begini tidak membuat si isteri berasa dirinya istimewa, oleh itu dia tidak bertambah kasih kepada suaminya akibat diberi pujian itu.
Ketiga, si isteri mungkin berasa pujian suaminya itu adalah sebahagian daripada adab dan sopan yang selalu diamalkan oleh suaminya. Memanglah sopan bagi seseorang suami memuji isterinya apabila dia masak sendiri. Akibatnya, si isteri tahu bahawa suaminya memang seorang yang sopan dan baik budi bahasa. Tetapi suaminya memang akan memuji sesiapa sahaja apabila keadaan menghendaki dia memberikan pujian. Pujian jenis ini pun tidak boleh membuat seseorang isteri bertambah kasih kepada suaminya.
Keempat, si isteri mungkin berasa pujian suaminya itu adalah putar belit suaminya mahukan supaya dia terus-menerus rajin memasak. Akibatnya si isteri berasa pujian itu bersifat manipulatif, tidak ikhlas, iaitu bertujuan memutar belit dirinya. Pujian jenis ini boleh membuat si isteri meluat kepada suaminya.
Kelima, si isteri mungkin menyangka suaminya cuma hendak menyukakan hatinya sahaja, bukannya betul-betul kerana lauk yang dimasaknya sedap. Si isteri juga mungkin menyangka suaminya memujinya kerana tidak mahu melukakan perasaanya. Akibatnya si isteri berasa suaminya adalah seorang yang sangat baik hati, dan dia “seronok sedikit” mendengar pujian itu.
Keenam, si isteri mungkin berasa suaminya betul-betul ikhlas sewaktu memuji lauknya, jadi dia berasa sangat seronok. Dalam keadaan begini, pujian begitu boleh membuat isterinya bertambah-tambah suka dan kasih kepada suaminya.
Berikut ialah ialah cara-cara memuji isteri bertambah cinta kepada suami.
Yang paling penting ialah: Jangan puji isteri sepanjang masa. Ertinya, jangan puji isteri dari mula baru-baru kahwin. Cara yang lebih baik ialah, mula-mula tunjukkan bahawa kita tidak berapa suka dengan perkara yang hendak dipuji itu. Sebagai contoh, walupun masakannya sedap, tapi kritik sedikit masakannya. Katakanlah karinya itu sedap tetapi terlalu “pekat”. Pada lain kali, barulah puji. Pujian seperti ini akan membuat si isteri sangat seronok mendengarnya. Dia boleh bertambah sayang kepada suaminya.
Menurut pakar-pakar psikologi, ada tiga faktor mengapa kita lebih menyukai orang yang mula-mula mengkritik kita tetapi kemudian memuji kita, dibandingkan dengan orang yang memuji kita sepanjang masa.
Apabila dulu orang itu mengkritik kita, tetapi sekarang dia memuji kita pula, perbuatannya itu membuat kita rasa yakin mesti ada sesuatu yang kita buat, atau kita lakukan, yang menyebabkan orang itu mengubah sikap negatifnya kepada sikap positif terhadap kita. Keyakinan itulah yang membuat kita rasa bahawa kita sudah berjaya. Sebagai contoh, kita yakin dulu kita tidak pandai membuat kari kerana dia pernah mengkritik kari kita. Tetapi sekarang kita sudah berjaya membuat kari yang lazat, itu sebab dia memuji kari kita. Kita seronok apabila kita yakin kita sudah berjaya. Apabila kita seronok, kita akan menyukai orang yang menyebabkan kita seronok. Pujian dari orang itu membuat kita suka kepadanya. Jikalau orang itu ialah suami sendiri, alangkah tepatnya.
Apabila dulu orang itu suka mengkritik kita, sikapnya itu membuat kita berasa tidak seronok, bimbang, ragu dan serba salah. Apabila lama-lama kemudian dia memuji kita, semua perasaan-perasaan itu hilang. Jadi, kita rasa seronok. Apabila hati kita seronok, kita akan menyukai orang itu.
Walaupun isteri kita seronok apabila dia kita puji sejak baru-baru mula-mula kahwin lagi, tetapi dia akan lebih seronok lagi apabila dia sangka dia dipuji oleh orang yang sangat cerewet, memilih-milih, kritis, serta lokek dengan pujian. Pendek kata, kalau tak betul-betul bagus, memang kita tak akan memujinya. Jadi, kalau kita berlakon suka mengkritik dia itu-ini, tetapi kemudian kita pura-pura suka kepada apa yang dibuatnya, isteri kita akan yakin bahawa kita seorang yang memilih-milih, cerewet, tak boleh lebih kurang dan cuma mahukan yang terbaik sahaja. Jadi, apabila dia kita puji, dia yakin dia sudah mencapai taraf yang amat tinggi sehingga kita sanggup memujinya. Perasaan itulah yang menyebabkan isteri kita jadi sangat seronok mendengar pujian kita. Pujiannya kita itu akan membuat dia tambah kasih kepada kita.
Ramai orang tidak setuju kita bermurah dengan puji-pujian kepada orang-orang di sekeliling kita. Mereka mengatakan puji-pujian boleh menimbulkan kesan negatif seperti orang yang dipuji. Nanti orang itu jadi perasan, tak sedar diri, sombong, angkuh, besar kepala, naik mua, naik kepala dan macam-macam lagi.
Sebenarnya, yang menimbulkan kesan-kesan negatif seperti itu bukanlah puji-pujian itu sendiri. Kesan-kesan negatif itu adalah kesan teknik memuji yang salah. Jadi, Pujilah isteri kita dengan teknik-teknik yang betul supaya dia bertambah kasih kepada kita. Teknik memuji betul akan mencipta kesan-kesan positif yang sangat penting ke atas isteri kita, antaranya ialah:
Isteri kita akan berasa dirinya sangat istimewa, berbeza daripada wanita-wanita lain.
b. Keyakinan dirinya akan naik dan keupayaannya akan meningkat. Hasilnya dia akan dapat meninggikan lagi prestasinya.
c.Keyakinannya terhadap diri kita akan bertambah teguh.
d. Dia bertambah yakin hubungan perkahwinannya masih kukuh.
e. Dia bertambah yakin dirinya masih kita sayangi.
f. Dia yakin cara-cara dia melayan kita adalah betul, macam yang kita mahu.
g. Estim-dirinya meningkat.
h. Dia akan bersikap lebih terbuka kepada nasihat dan teguran kita.
Sumber
Tiada ulasan:
Catat Ulasan