Wawa Zainal Kini Selesa Bertudung
Wawa Zainal Kini Selesa Bertudung
“Saya tidak nafikan sekarang ini saya sering bertudung. Saya sedang belajar berubah ke arah kebaikan secara berperingkat. Doakan yang terbaik untuk saya,” ujar Wawa Zainal ketika mengulas desas-desus yang mendakwa dia kini tampil bertudung setelah dilihat beberapa kali tampil di khalayak dengan imej wanita muslimah.
“Kalau ada yang ternampak saya memakai tudung di luar, mereka memang tidak salah orang. Saya selalu pakai tudung sekarang ini. Cuma bukan secara kekal. Belum terfikir untuk berubah sepenuhnya. Saya tidak mahu berubah secara drastik, tetapi biarlah berperingkat. Sekarang ini saya mempelajari ilmu agama dengan menghadiri kelas-kelas agama dan juga kelas mengaji Al-Quran. Saya mahu memperbaiki diri,” ujar pelakon yang sedang meningkat naik ini.
Dalam masa yang sama, Wawa juga menyangkal pendapat yang mengatakan dia cuba untuk berubah kerana terpengaruh dengan Aeril Zafrel yang kononnya adalah teman lelakinya ketika ini.
“Saya dan Aeril Zafrel hanya kawan biasa. Dia tidak pernah cuba mempengaruhi saya dengan apa-apa pun. Saya mahu berubah kerana kehendak diri sendiri. Bukan atas desakan sesiapa. Kesedaran itu muncul dengan sendiri. Sebagai umat Islam, saya rasa bertangungjawab untuk mempersiapkan diri dengan ilmu agama secukupnya. Saya tidak malu mengaku yang saya tidak fasih mengaji.
Sebab itu, saya pergi belajar mengaji dengan seorang ustazah. Jika ditakdirkan saya berubah dan ingin terus memakai tudung, Alhamdulillah,” ujar Wawa lagi.
Ditanya adakah dia bersedia melepaskan kerjaya lakonannya seandainya dia bertudung nanti, Wawa dengan yakin memberitahu dia tidak ada masalah berbuat demikian.
“Saya tidak ada masalah hendak bertudung. Kalau Allah sudah buka pintu hati saya, apa salahnya. Lagipun, itu kewajipan kepada wanita Islam. Saya percaya rezeki ada di mana-mana. Kalau dengan bertudung saya tidak lagi mendapat tawaran berlakon, saya percaya ada rezeki lain untuk saya,” ujar Wawa berkeyakinan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan