Pages

Digi, Celcom, Maxis didenda RM190,000 langgar syarat

Digi, Celcom, Maxis didenda RM190,000 langgar syarat
















Digi, Celcom, Maxis didenda RM190,000 langgar syarat 


Tiga syarikat telekomunikasi utama tempatan dikompaun RM190,000 oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kerana melanggar syarat lesen mereka, terutama berkaitan aduan orang ramai mengenai panggilan terputus.

SKMM dalam kenyataannya semalam berkata, DiGi Telecommunications Sdn Bhd dikompaun RM100,000 bagi empat kesalahan berasingan, Celcom Axiata Bhd dikompaun RM60,000 untuk tiga kesalahan, manakala Maxis Mobile Services Sdn Bhd dikompaun RM30,000 kerana dua kesalahan.
Katanya, kompaun itu dikeluarkan berdasarkan hasil ujian dijalankan suruhanjaya itu di beberapa lokasi di negara ini.

Perbanyak ujian ukur kualiti

SKMM, tambahnya sedang menjalankan lebih banyak ujian di seluruh negara bagi mengukur kualiti perkhidmatan yang disediakan oleh syarikat telekomunikasi di negara ini.

Syarikat telekomunikasi diberi masa dan peringatan mencukupi untuk menyelesaikan aduan diterima daripada pelanggan mereka mengenai peningkatan kejadian panggilan terputus sejak kebelakangan ini.


Sebagai pengawal selia industri, kami tiada pilihan melainkan mengeluarkan saman kepada mereka kerana gagal mencapai piawaian dan tahap perkhidmatan yang ditetapkan, kata Pengerusi SKMM, Datuk Mohamed Sharil Tarmizi, dalam kenyataan berkenaan.
Mohamed Sharil berkata, SKMM sedar syarikat telekomunikasi mula menaik taraf dan melaksanakan usaha mempertingkatkan kualiti perkhidmatan mereka di negara ini, tetapi beliau menegaskan bahawa ia harus dipercepatkan.

Orang ramai tidak patut bertolak ansur dengan peningkatan kejadian panggilan terputus atau mutu perkhidmatan yang buruk, katanya.

SKMM adalah badan berkanun ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 (AKM) yang melaksana dan mempromosi matlamat dasar kebangsaan Malaysia bagi sektor komunikasi dan multimedia.

Source

Tiada ulasan:

Catat Ulasan