Promosi Minuman Keras Sempena Hari Raya Aidilfitri?
SDR PENGARANG,SAYA menulis kepada pihak tuan untuk memaklumkan bahawa masih terdapat pihak peniaga yang tidak sensitif dengan perasaan umat Islam apabila mengiklankan kempen jualan murah produk barangan mereka sempena bulan Ramadan dan juga menjelang Hari Raya Aidil Fitri.
Saya berkata demikian kerana saya masih melihat terdapatnya pasar raya besar yang turut mengiklankan "jualan murah" beberapa jenama minuman keras di bawah 'banner' sempena bulan Ramadan dan Hari Raya.
Jelas sekali, ketidakperihatinan pihak yang mempromosikan kempen ini mencerminkan sikap tidak memahami sensitiviti umat Islam sebaliknya berpendapat bulan Ramadan dan Hari Raya sebagai satu pesta keramaian atau majlis meraikan kedatangan suatu musim perayaan yang bersifat kebudayaan dan amalan ritual.
Sama ada Ramadan atau tidak, umat Islam sememangnya tidak mengambil minuman keras kerana ia adalah sejenis minuman yang diklasifikasikan sebagai haram.
Justeru pada pandangan saya, masyarakat bukan Islam khususnya para peniaga harus memahami latar belakang ini agar mereka tidak melakukan kesilapan dengan mengaitkan kempen 'jualan murah' minuman keras dengan 'jualan murah' sempena bulan Ramadan.
Ada baiknya juga jika pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan mengambil inisiatif dengan mengadakan peringatan dan kempen mereka sendiri kepada para pekedai dan pengusaha pasar raya agar tidak melakukan kesilapan yang serupa berhubung perkara di atas.
MUHAIMIN ABDUL RAHMAN NAZRI
GUNUNG SEMANGGOL
Sumber
mohon pihak berkuasa menyita premis !
BalasPadam