Pages

Lahad Datu: Tentera Malaysia Akan Tentang Habis-Habisan Pengganas Sulu

Lahad Datu: Tentera Malaysia Akan Tentang Habis-Habisan Pengganas Sulu





Lahad Datu: Tentera Malaysia Akan Tentang Habis-Habisan Pengganas Sulu



Pasukan keselamatan akan terus memburu saki-baki pengganas Sulu yang menceroboh Lahad Datu dan yakin dapat menumpaskan mereka dalam tempoh terdekat.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib dalam reaksi segeranya ke atas kenyataan yang dikeluarkan oleh Jamalul Kiram III, pada awal Isnin menegaskan yang raja Sulu itu boleh kata apa yang dia suka tetapi pasukan keselamatan Malaysia akan memberi tentangan habis-habisan.
Malah katanya, pasukan keselamatan percaya jumlah militan yang berkubu di Kampung Tanjung Batu kini kurang daripada 50 orang.
Pasukan keselamatan, katanya tidak menghiraukan pengumuman Jamalul Kiram III yang disiar oleh media Filipina bahawa kumpulan pengganas itu akan melancarkan perang gerila ke atas Malaysia.
"Jamalul Kiram boleh cakap apa saja. Kami akan tentang mereka habis-habisan," katanya pada sidang akhbar bersama Panglima Satu Divisyen Infantri Tentera Darat, Mejar Jeneral Datuk Ahmad Zaki Mokhtar di Felda Sahabat 16, dekat sini pada lewat petang Isnin. Hamza berkata, dua pertempuran telah berlaku antara pasukan keselamatan dan kumpulan pengganas pada hari ke-14 Operasi Daulat iaitu pada jam 8.05 pagi dan 9.45 pagi.
Menjawab pertanyaan wartawan stesen televisyen Filipina GMA 7 mengenai pasukan keselamatan mengambil kesempatan ke atas pengganas setelah Jamalul Kiram III mengumumkan gencatan senjata, Hamza berkata pengganas terlebih dahulu menyerang dan membunuh dua anggota polis serta mencederakan tiga lagi dalam pertempuran di Kampung Tanduo, dekat sini pada 1 Mac lepas.
"Kami tidak akan hormati kata Jamalul Kiram III kerana pengikutnya menembak mati dua anggota polis, sedangkan sehari sebelum itu beliau umum gencatan senjata," katanya lagi.
Hamza turut memberitahu bahawa Malaysia dan Filipina sedang berunding berhubung tuntutan mayat 28 pengganas yang ditembak mati dalam insiden pencerobohan itu.
Sementara itu, Ahmad Zaki menjelaskan, 12 kereta kebal berantai jenis Adnan milik tentera darat telah tiba di Felda Sahabat untuk membantu mengukuhkan pertahanan dan membanteras pengganas di Kampung Tanjung Batu.
"Kereta perisai itu juga bertujuan untuk memberi perlindungan yang lebih efektif kepada pasukan keselamatan dalam menggeledah kawasan dan mendominasi kawasan," katanya.
Sementara itu Di KUALA LUMPUR, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata, pasukan keselamatan yakin operasi pembersihan di Kampung Tanjung Batu akan selesai dalam masa dua atau tiga hari lagi sebelum penduduk dibenar pulang ke rumah masing-masing.
"Operasi di Sungai Nyamuk dan Kampung Tanduo telah selesai dan kini dalam peringkat menentukan kerosakan yang dialami penduduk kampung," katanya kepada pemberita di Kementerian Pertahanan.
Mengenai tempoh Operasi Daulat, Zulkifeli berkata, pasukan keselamatan tidak dapat memberi jangka waktu bila operasi itu akan berakhir.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan