Pages
▼
Ayah Pin Kini Di Facebook!!
Selepas sekian lama menghilang, nama Arifin Mamat, 69, atau lebih dikenali sebagai Ayah Pin, muncul semula apabila sebuah laman facebook (FB) dipercayai didalangi pihak tidak bertanggungjawab dikesan memuatkan kata-kata berunsur penghinaan terhadap Islam dan negara.
Laman FB yang dikatakan mula dibuka Sabtu lalu, dipercayai didalangi pihak yang cuba menyebar dan mempengaruhi orang ramai ajaran kerajaan langit yang sebelum ini dibawa Ayah Pin dan difatwakan sesat oleh pihak berkuasa agama negara ini.
Selain penggunaan perkataan menghina agama di laman yang menggunakan gambar Ayah Pin dan baru mempunyai empat pengikut itu, terdapat sesalinan perakuan murtad serta salinan daftar pemilih yang disahkan membabitkan kawasan pilihan raya bagi ketua ajaran sesat kerajaan langit terbabit.
Kemungkinan laman FB itu digunakan pihak lain untuk menghina Islam juga tidak boleh ditolak berdasarkan penggunaan bahasa Inggeris dalam pos terbarunya jam 6.15 petang kelmarin yang berbunyi “I cant send friend request because fb suspend it for 2 days and fb urge me to cancel friend all request, what the heck! fb is not user friendly la lagu ni”'.
Semakan Berita Harian terhadap akaun FB itu turut menemui beberapa kata-kata penghinaan seperti ‘Malaysia Babi’ yang dipos pada jam 1.13 tengah hari 15 April lalu serta pos bertarikh 15 April jam 2.24 petang yang berbunyi: “Tidak lama lagi akan mengundi, semoga Dewa Iswara dan Dewa Indra memanjangkan umur saya”.
Setakat ini laman FB Ayah Pin yang menerima komen daripada lebih 56 pembaca turut memuatkan beberapa perkataan lain yang boleh dianggap menghina antaranya, yang diposkan semalam berbunyi “Alhamdulillah ana sudah murtad!! Bebas dari agama palsu!!”
Dalang laman FB itu turut memasukkan secara jelas salinan daftar pemilih yang disahkan menerusi semakan komputer mengandungi nama Arifin Mamat, bernombor kad pengenalan 430622035313, bertarikh lahir 23 Jun 1943, tempat mengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Besut serta kawasan mengundi di Parlimen Besut.
Niat buruk pemilik akaun laman itu untuk menghina Islam jelas apabila pada ruangan info pemiliknya memaparkan gambar Ayah Pin dan tertulis perkataan ‘Ayah Pin Islam agama palsu’ sehingga membuatkan orang ramai mendesak Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) bertindak segera menutup akaun laman FB berkenaan.
Pengguna, Zaidi Abas, 48, mendesak pihak berkuasa bertindak segera bagi mengelakkan ia mempengaruhi fikiran terutama generasi muda yang cetek pengetahuan agama.
“Ini amat keterlaluan terutama perkataan yang digunakan nyata menghina Islam dan negara kita. Sama ada akaun laman ini dibuka pihak lain atau Ayah Pin sendiri, itu menjadi tugas SKMM menyiasatnya.
“Mungkin ia bukan dibuka oleh Ayah Pin kerana ada pos yang ditulis menggunakan bahasa Inggeris, tetapi kita tidak boleh memandang ringan perkara ini,” katanya. -BH
Sumber
KLik=Sini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan