Anggota Bomba Cedera Tangki minyak Meletup
Kota Bharu,4 november- Sepuluh anggota bomba cedera dalam operasi memadam kebakaran di sebuah kilang tayar yang tidak beroperasi di Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa di sini, hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, Azmi Osman berkata, kemalangan itu berlaku apabila sebuah tangki minyak silinder yang terletak di bahagian belakang kilang tersebut tiba-tiba meletup yang menyebabkan api menyambar anggota terbabit.
"Ada empat tangki minyak silinder dengan dua daripadanya mengalami kebocoran. Semasa operasi pemadaman itu, berlaku satu letupan daripada salah sebuah tangki tersebut yang menyebabkan 10 anggota bomba mengalami kecederaan dengan empat daripadanya agak serius,” katanya kepada pemberita selepas melawat anggota bomba terbabit yang dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini, hari ini.
Azmi berkata, anggota terbabit mengalami kecederaan di bahagian muka, tangan dan kaki dihantar menerima rawatan iaitu tujuh orang di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian dan tiga orang di Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini.
Empat anggota yang cedera agak serius itu ialah Wan Asri Wan Yaakob, Zulkifli Mahmod, Razak Abdullah dan Abdullah Din Mohamad, katanya dan menurutnya keadaan mereka dilaporkan stabil.
Azmi berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran tersebut pada pukul 8.30 pagi dan 29 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa dan Balai Bomba dan Penyelamat Tunjung di sini, ditugaskan untuk memadamkan kebakaran tersebut.
"Operasi pemadaman berjalan lancar, kebakaran dapat dikawal sepenuhnya tetapi tiba-tiba berlaku letupan daripada salah satu tangki minyak silinder itu.
Semasa kejadian saya berada di tempat kejadian,” katanya yang tidak mengalami kecederaan.
Beliau berkata punca kebakaran tersebut sedang disiasat
Mulakan Hari anda dengan sinaran senyuman KLIK=SINI
0 ulasan:
Catat Ulasan