WASHINGTON - Jabatan Keselamatan Negara Amerika Syarikat (AS) menasihati orang ramai agar menutup sementara perisian Java dalam komputer mereka bagi mengelakkan risiko serangan penggodam.


Saranan itu dibuat dalam satu pekeliling pada Khamis lalu susulan kebimbangan yang ditimbulkan oleh pakar-pakar keselamatan komputer.


Mereka percaya penggodam-penggodam telah menemui kelemahan dalam kod perisian Java yang boleh digunakan untuk melakukan aktiviti jenayah dan penipuan siber.


Java digunakan secara meluas sebagai bahasa teknikal yang membolehkan pengatur cara menulis pelbagai jenis aplikasi internet dan program perisian lain yang boleh digunakan dalam hampir semua sistem pengoperasian komputer.


Firma Oracle Corp memiliki Java apabila membeli syarikat yang menghasilkan perisian itu, Sun Microsystems pada harga AS$7.3 bilion pada 2010. - AP