JAKARTA - Sebuah kotak hitam yang merupakan perakam suara dari kokpit pesawat penumpang Sukhoi Superjet-100 buatan Rusia yang terhempas berhampiran dengan Gunung Salak, Jawa Barat yang mengorbankan 45 orang telah ditemui kelmarin.
Ia merupakan rakaman suara juruterbang yang boleh membantu menjelaskan punca nahas tersebut.
Menurut Ketua Suruhanjaya Kebangsaan Keselamatan Indonesia, Tatang Kurniadi kotak hitam itu ditemui dari sebuah gaung sedalam 500 meter.
Beliau berkata, ia mengandungi perakam suara dan perakam data penerbangan.
Pesawat itu membuat penerbangan demonstrasi semasa ia terhempas di gunung tersebut pada Rabu lalu.
Menurut ketua siasatan nahas itu, Mardjono Siswosuwarno, rakaman suara itu akan dianalisis di sebuah makmal di Jakarta.
Pesawat itu terhempas selepas ia hilang dari radar setelah berlepas dari sebuah lapangan terbang di sini.
0 ulasan:
Catat Ulasan