“Berdasarkan pengamatan saya menerusi siri Fear Factor sebelum ini, saya tahu cabaran yang harus ditempuhi peserta tidak mudah. Tidak meletakkan sebarang harapan untuk menang, tetapi sekurang-kurangnya saya mencuba. Paling tinggi sasaran saya hanya mahu ke peringkat final.
“Mungkin orang nampak saya begini (kecil) dan lembut, tetapi saya sebenarnya seorang yang gemarkan aktiviti lasak dan mampu mencabar diri,” katanya.
Bakal bergandingan dengan Ajak daripada kumpulan Shiro (Raja Lawak) sebagai sebuah pasukan, duta produk kecantikan Maybelline itu turut ditanya apakah pembabitannya menerusi program berkenaan sebagai melangsaikan komitmen dengan Astro lantaran dia dilantik sebagai Wajah Eksklusif Astro.
“Sewaktu saya ditawarkan menyertai pertandingan ini oleh pihak Astro, tanpa berfikir panjang saya terus bersetuju kerana saya mahu mencuba. Saya tidak pernah tahu bahawa pembabitan saya menerusi program ini boleh mengurangkan baki ‘jam’ atau komitmen saya dengan Astro sebagaimana tertera dalam kontrak Wajah Eksklusif Astro.
“Untung untuk saya sebenarnya apabila dimaklumkan pembabitan ini diambil kira sebagai tempoh waktu bekerja dengan Astro. Sambil-sambil saya ingin melakukan perkara yang saya suka, saya juga bekerja,” katanya.
Mengenai pemilihan Ajak atau nama sebenarnya Mohammad Hanaffi Razak, 26, sebagai pasangan, Elfira berkata, mereka saling mengenali memandangkan sama-sama menaungi Astro.
“Semasa saya mendapat tawaran Fear Factor Malaysia, hanya dua peserta saja yang saya tahu ketika itu iaitu abang Ajak dan Jehan Miskin. Memandangkan saya dan abang Ajak saling kenal serta sama-sama menaungi Astro, jadi saya mengajak dia untuk menjadi rakan sepasukan,” katanya.
Berbicara soal cabaran bakal ditempuhi antara satu lagi tarikan yang membuatkan si manis berusia 19 tahun yang melonjak menerusi drama bersiri Qalesya ini menyatakan persetujuannya.
Ujar Elfira, dia tidak begitu takut pada binatang walaupun ada beberapa jenis tidak disukainya. Namun paling meloyakan ketika menonton siri Fear Factor yang mempunyai francais di merata dunia adalah cabaran memakan makanan berupa organ haiwan dan binatang buas.
“Apa yang menyeronokkan mengenai Fear Factor Malaysia, peserta tidak akan berdepan dengan cabaran yang memerlukan kami makan makanan eksotik boleh membawa kesan kepada tubuh badan.
“Yang pasti, saya difahamkan akan ada cabaran membabitkan laut, kawasan tinggi termasuk binatang buas memandangkan penggambaran program ini dilakukan di Afrika. Saya akan berangkat ke sana pada 22 Oktober dan jika mampu bertahan sampai peringkat final, saya akan berada di sana sehingga 16 November,” katanya.
Sempena keberangkatan nanti, Elfira bakal mengubati rindu peminat dengan kemunculan sebuah drama dinanti ramai, Dalam Hati Ada Taman yang dibintangi bersama aktor kacak dari seberang, Randy Pangalila. Drama bersiri 13 episod arahan Michael Ang itu akan bersiaran pada 29 Oktober.
Gandingan Elfira dan Randy menerusi drama itu bukanlah yang pertama kerana sebelum ini mereka pernah menjadi pasangan kekasih dalam sebuah cereka dengan judul Biar Mimpi Sampai Ke Bintang.
Gara-gara Elfira masih lagi menjadi bintang pilihan untuk digandingkan dengan pelakon remaja terkenal Indonesia itu, khabarnya mengundang cemburu pelakon remaja (perempuan) di negara ini.
“Dulu saya meminati Randy kerana lakonannya menerusi Cinta Kirana. Sampaikan masa ‘shooting’ dengan Michael Ang, jika ada masa terluang saya minta buka drama itu kerana saya dan mama mengikuti siri berkenaan.
“Michael yang turut menonton bersama kami memuji lakonan Randy dan berkata pada saya, mana tahu suatu hari nanti dapat berlakon dengan dia. Tup-tup! Atas usaha Michael juga, saya dapat berlakon dengan Randy dalam drama Biar Mimpi Sampai Ke Bintang.
“Bertitik-tolak daripada gandingan itu, Astro khabarnya menerima maklum balas sangat positif sehingga peminat dan penonton sendiri memberi cadangan agar drama seterusnya membabitkan kami berdua.
“Sebagai memenuhi permintaan pelanggan, maka lahirlah drama Dalam Hati Ada Taman. Berbanding pengalaman pertama, ternyata gandingan kali ini lebih memudahkan saya dengan Randy untuk bekerja memandang sudah ada keserasian yang dibina melalui kerjasama terdahulu selain sudah faham kerja masing-masing.
“Melalui drama ini, saya memegang watak sebagai Bella yang menetap dengan ibunya di Paris dan bekerja di sebuah kedai roti. Di mana Randy yang menggunakan nama sebenarnya sebagai watak turut mencari rezeki di kedai sama.
“Kami selalu bergaduh kerana Bella tidak sukakan Randy yang sering mengusiknya. Kehidupan Bella dan ibunya yang mencabar di kota Paris membuatkan ibunya mahu menjodohkan Bella dengan anak orang kaya namun Bella enggan.
“Menyedari Randy menyukainya, Bella minta Randy menyamar sebagai tunangannya. Ingin tahu konflik yang berlaku seterusnya, kenalah menonton drama ini,” kata Elfira dengan nada suara manja.
Memiliki pelbagai kebolehan, penuntut jurusan Diploma in Entertainment Arts, Kolej Universiti KDU itu juga mempunyai bakat mengacara. Khusus untuk peminat ciliknya, Elfira akan bersiaran setiap Ahad jam 10 pagi menerusi program Rekativiti.
Rekativiti adalah rancangan kanak-kanak bawah 12 tahun yang dikendalikan bersama Zoey Rahman, di mana program itu cuba mencungkil kebolehan si cilik dalam menghasilkan rekaan mengikut kreativiti masing-masing.
0 ulasan:
Catat Ulasan