Sabah Standoff: Detik Cemas Wartawan Terserempak Pengganas Sulu
Sabah Standoff: Detik Cemas Wartawan Terserempak Pengganas Sulu
Wartawan Terserempak Pengganas Sulu
LAHAD DATU: Sekumpulan wartawan dan jurugambar menempuh pengalaman mendebarkan apabila terserempak anggota militan bersenjata ketika membuat tinjauan di Kampung Tanjung Labian, Felda Sahabat dekat sini, Ahad.
Lebih mencemaskan, lapan wartawan dari pelbagai syarikat media itu "dipaksa" berlari bersama penduduk yang secara tiba-tiba keluar dari tempat persembunyian dan bertempiaran meninggalkan kampung itu.
Kejadian pada kira-kira 10 pagi itu melibatkan wartawan dan jurugambar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), jurugambar The Star, New Straits Times serta jurukamera dan pemberita Bernama TV dan Al-Hijrah.
Mengimbas kembali, wartawan Bernama Mohd Hisham Abdul Rafar berkata pada mulanya beliau bersama rakan media mendapati perkampungan yang dikelilingi ladang kelapa sawit itu lengang dan suram.
Malah, mereka yang tiba dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda dan Proton Saga juga menggambarkan penempatan itu seolah-olah "kampung berhantu" kerana rumah-rumah tiada berpenghuni serta tidak berkunci dengan binatang ternakan berkeliaran.
"Seperti biasa, kami menjalankan tugas mencari berita dan merakam keadaan kampung.Tiba-tiba sekumpulan penduduk termasuk kanak-kanak bergegas keluar dari beberapa penjuru kampung, seolah-olah lari dari sesuatu.
"Terkejut dengan keadaan itu, kami menahan seorang daripada mereka bagi bertanyakan apa yang berlaku dan dimaklumkan mereka bertindak demikian setelah mendengar empat das tembakan dilepaskan dari dalam kawasan itu," katanya.
Menyedari keadaan tersebut boleh mengancam keselamatan, Mohd Hisham yang sebelum ini pernah mengikuti misi kemanusiaan ke Pakistan segera beredar dari lokasi itu bersama rakan media lain.
Jurufoto The Star, Normimie Diun, 38, berkata situasi bertambah genting apabila beliau yang ketika itu telah berada di dalam kenderaan terlihat sosok seorang lelaki berpakaian serba hitam yang memegang senjata berdiri berhampiran sebatang pohon kelapa sawit, kira-kira enam meter dari kedudukan mereka.
Cemas dengan keadaan itu, beliau dan rakan-rakan terus menundukkan kepala dan pemandu terus memecut meninggalkan kawasan itu.
Dalam pada itu katanya, beliau masih sempat menjerit mengingatkan rakan-rakan supaya tidak merakamkan gambar kerana khuatir lelaki itu bertindak ganas.
"Saya sempat menjenguk keluar dan terlihat lelaki itu terus duduk dan berselindung di sebalik pokok berkenaan. Saya masih terperanjat, namun bersyukur penceroboh itu tidak melepaskan tembakan," katanya.
Normimie berkata dalam perjalanan pulang mereka kemudiannya berselisih dengan beberapa kenderaan polis yang menuju ke kampung tersebut.
Kesemua kumpulan wartawan itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan tiba dengan selamat di Felda Sahabat 16, kira-kira 130 kilometer dari pekan Lahad Datu.
Pasukan keselamatan melancarkan Op Daulat di kawasan sekitar Lahad Datu berikutan insiden pencerobohan oleh kumpulan militan bersenjata dari Selatan Filipina yang berlarutan sejak 12 Februari lepas. BERNAMA
0 ulasan:
Catat Ulasan