Tentera ATM Sedia Gempur Penceroboh Lahad Datu
Tentera ATM Sedia Gempur Penceroboh Lahad Datu
KOTA BAHARU: Sekumpulan anggota tentera 21 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem 8 Briged Pengkalan Chepa berlepas ke Sabah sebagai batalion tambahan untuk menangani krisis pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu dan Semporna.
Suasana pilu kelihatan di kalangan anggota keluarga yang menghantar anggota tentera itu di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Pengkalan Chepa di sini. "Ya Allah, selamatkanlah ayah kami," doa dua adik-beradik, Mohammad Faris Aiman Mohd Faizul Anuar, 6, dan Arisya Sofia, 4, melalui telefon bimbit ketika bercakap dengan bapa mereka, Kpt Mohd Faizul Anuar Fazil.
Siti Nor Juliana Ismail, 28, isteri kepada Koperal Ismail Ibrahim, 31, berkata beliau berasa berat hati melepaskan suaminya namun faham tanggungjawab yang dipikul suaminya demi menjaga keselamatan negara.
Beliau yang berasal dari Pasir Tumboh, di sini, berharap keadaan di Sabah berakhir dengan segera.
Sarimah Othman, 34, isteri kepada Mejar Zaki Kadir berkata perasaannya tidak menentu selepas mengetahui suaminya diarah ke Sabah sebagai anggota tambahan menjaga keselamatan negara.
"Perasaan saya menjadi bimbang, sedih mengenangkan anak-anak yang masih kecil. Saya harap suami pulang dengan selamat," katanya.
Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dilaporkan berkata bagi meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap tahap keselamatan mereka, dua lagi batalion tambahan tentera dikerah hari ini ke beberapa lokasi di sekitar pantai timur Sabah.
Krisis pencerobohan telah mengorbankan tujuh anggota polis dalam insiden berasingan Jumaat lepas di Lahad Datu dan malam tadi di Semporna.
Dilaporkan sehingga ini 15 orang pengganas Sulu terbunuh, termasuk seorang yang dilapor dibelasah setelah mengancam penduduk sebuah kampung di Semporna.- BERNAMA
0 ulasan:
Catat Ulasan