Dahlia Shazwan anak emas Aznil Nawawi| Gambar
Dahlia Shazwan anak emas Aznil Nawawi | Gambar
Finalis On Air nafi dia 'anak emas' Aznil Nawawi kerana sering diberi peluang jadi pengacara
Walaupun sekadar berentap hingga pusingan separuh akhir dalam program realiti pengacaraan TV, On Air musim pertama, Dahlia Shazwan Mohd Amin, 24, dilihat lebih menonjol berbanding finalis program terbabit.
Selepas berpeluang mengacarakan program hiburan Gala TV di Astro Awani, dia seterusnya diberi kepercayaan untuk berganding dengan pengacara, Awal Ashaari untuk segmen karpet merah dalam Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-19, baru-baru ini.
Saya tidak menganggap kerjaya pengacara adalah bidan terjun untuk saya mencari kerja. Fokus saya kini adalah dalam pengacaraan dan ingin tinggalkan nama seperti ditinggalkan barisan pengacara wanita generasi terdahulu dan saya berharap untuk mengisi kekosongan itu. - Dahlia Shazwan Mohd Amin
Melihat deretan peluang diperolehnya membuatkan ramai mengandaikan Dahlia ibarat ‘anak emas’ kepada Aznil Nawawi atau Pak Nil yang dianggap mentor kepada barisan pengacara pelapis di Astro. Bukan ingin mendabik dada, Dahlia berasakan peluang keemasan yang diterimanya itu adalah kepercayaan Astro terhadapnya untuk meningkatkan lagi pengetahuan dan pengalaman dalam bidang berkenaan.
“Semua peserta On Air akan mendapat peluang dan sekarang adalah rezeki saya untuk mengendalikan beberapa program di Astro. Tiada unsur ‘anak emas’ di Astro mahupun oleh Pak Nil kerana masing-masing perlu menonjolkan bakat dan kerja yang baik untuk mendapat peluang.
“Pak Nil adalah seorang profesional, dia lebih tahu untuk menilai bakat seseorang untuk di tonjolkan ke depan. Saya tahu Pak Nil membuat perancangan terbaik untuk semua peserta On Air, cuma masing-masing perlu merebut peluang diberikan.
“Saya bersyukur dan berterima kasih kerana Pak Nil memberi kepercayaan dan yakin dengan kemampuan saya mengacarakan segmen karpet merah AIM19 dan kepercayaan ini harus saya balas dengan hasil kerja yang mampu memuaskan hati semua pihak terbabit.
Walaupun kali pertama, saya berpuas hati dengan hasil kerja itu dan saya akui masih banyak perkara lagi perlu diperbaiki untuk mengendalikan sesuatu program yang disiarkan secara langsung,” katanya.
Pengalaman berharga Dahlia Shazwan
Jelas Dahlia lagi, pembelajarannya mendalami selok belok dalam bidang pengacaraan tidak akan tamat sebaliknya peluang mengacarakan majlis tertentu adalah pengalaman paling berharga untuk memantapkan lagi kerjayanya.
“Pembelajaran tidak pernah berhenti dan pengalaman akan mengajar saya untuk lebih cepat belajar dalam selok belok dunia pengacaraan. Lagipun sekarang di bawah kendalian Pak Nil, kami masih lagi mengikuti kelas pengacaraan setiap minggu sehingga tahun depan.
Melalui kelas terbabit, ia banyak memberi saya ilmu baru hasil pengalaman luas Pak Nil dalam bidang pengacaraan, selain sesi post mortem untuk mengenal pasti kesilapan untuk diperbaiki. Seperti semua tahu, Pak Nil memang seorang serius dan tegas ketika bekerja tapi dia tidak pernah menjatuhkan sebaliknya memberi motivasi untuk meningkatkan lagi keyakinan kami semua,” katanya yang menjadikan bekas pengacara, Wan Zaleha Radzi sebagai idolanya.
Pendedahan sejak kecil Dahlia Shazwan
Tambah Dahlia, minatnya dalam bidang media penyiaran lebih menjurus kepada pengaruh bapanya yang juga pesara dalam bidang media, melalui pendedahan sejak kecil itu menimbulkan minatnya untuk terjun dalam bidang berkenaan.
“Sebelum menyertai On Air, saya bekerja dalam bidang produksi tetapi pada masa sama saya mencari peluang untuk terjun dalam bidang media. Bila diadakan sesi uji bakat dan saya berjaya melangkah dalam program terbabit, saya berasakan perjalanan semakin lancar untuk mengejar cita-cita. “Saya dibesarkan dalam dunia kewartawanan kerana ayah adalah seorang wartawan.
Ini yang menjadikan minat itu terbit sejak kecil lagi dan saya sudah tetapkan kerjaya yang saya akan lakukan bila dewasa. Lagipun bidang kewartawanan dan pengacaraan tidak jauh bezanya dan saling berkait menjadikan saya pilih untuk terjun dalam dunia pengacaraan,” kata pemegang Diploma Komunikasi dan Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka.
Melihat tidak ramai yang menjadikan bidang pengacaraan ini sebagai kerjaya menjadikan Dahlia optimis untuk terus mendambakan diri dalam bidang ini dan yakin mampu untuk meninggalkan kekosongan itinggalkan pengacara generasi terdahulu.
“Saya tidak menganggap kerjaya pengacara adalah bidan terjun untuk saya mencari kerja. Fokus saya kini adalah dalam pengacaraan dan ingin tinggalkan nama seperti ditinggalkan barisan pengacara wanita generasi terdahulu dan saya berharap untuk mengisi kekosongan itu.
“Tapi bukannya senang untuk mengisi kekosongan itu kerana masih banyak yang harus saya lalui.
Bidang pengacaraan juga ada risiko tersendiri, jadi saya harus tumpu kepada usaha meningkatkan diri sendiri dan setiap hari adalah pembelajaran,” katanya.
Sumber Brita Harian
0 ulasan:
Catat Ulasan