Imej Baru Hafiz AwanNano | Rambut Lurus dan Kemas
Imej Baru Hafiz AwanNano | Rambut Lurus dan Kemas
HADIR dengan potongan rambut pendek yang diberi kemasan sleek sebagai pelengkap gaya, imej baharu anak muda kelahiran Kuching, Sarawak itu menampakkan kelainan. Sisi maskulin penyanyi berusia 22 tahun itu juga makin menyerlah. Ada kematangan terselit daripada senyum dan lagaknya.
Selama ini perjalanan kariernya diisi dengan seleksi hit antaranya, Masih Jelas, Noktah Cinta, Awan Nano yang kemudiannya bersambung pula dengan Ku Akui, Ombak Rindu dan terbaharu Muara Hati. Itu semua balada muzik Hafiz yang telah membelah jiwa peminatnya. Ternyata bintang yang menjalar pesonanya daripada program Akademi Fantasia itu semakin mendominasi pasaran penyanyi lelaki solo tempatan ketika ini.
Percubaan menembusi pasaran Indonesia dengan sebuah album yang dilancarkan untuk pasaran di sana dua bulan lalu juga satu langkah progresif untuk penjenamaan Hafiz. Diusik bakal mengikuti jejak langkah Datuk Siti Nurhaliza yang diterima baik pencinta muzik di Jakarta dan Indonesia umumnya, dia pantas menggelengkan kepala.
"Di sana (Indonesia), jika sesebuah lagu daripada pendatang baharu seperti saya ini dapat bertahan di radio selama seminggu pun sudah dikira cukup bagus. Saya sudah sangat bersyukur dan setakat ini ulasan media di sana juga sungguh memberangsangkan. Lagu-lagu di dalam album itu juga sudah boleh dibeli menerusi iTunes," katanya yang baru-baru ini ke Jakarta lagi untuk rakaman klip video terbaharunya, Bahagiamu Deritaku.
Galak bercerita tentang pengalaman bekerjasama dengan kru penggambaran di Jakarta, Hafiz ketawa mengenangkan layanan pihak produksi di sana yang di luar jangkaan.
"Usahkan pegang cawan minuman dan ikatkan tali kasut, kalau boleh seluar saya pun mahu mereka pakaikan," bicara Hafiz bersantai-santai sementara menunggu set penggambaran untuk kulit album kedua disiapkan, Isnin lalu.
Artikel Penuh Hak Cipta Terpelihara= Kosmo
0 ulasan:
Catat Ulasan