Ada Pihak Kaut Untung Tabung Sumbangan Gaza
Ada Pihak Kaut Untung Tabung Sumbangan Gaza
Guna Nama Selamatkan Gaza Mengaut Keuntungan
KUALA LUMPUR: Kaut untung jutaan ringgit di atas kesengsaraan saudara seagama di bumi bergolak. Itu rumusan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) selepas mendapati ada pihak sengaja mengambil kesempatan mewujudkan tabung dengan slogan ‘Selamatkan Gaza’ tanpa diketahui ke mana dana itu disalurkan.
Beroperasi di medan selera, pasar malam serta pasar raya di seluruh negara, kegiatan itu dikesan selepas menerima aduan orang ramai yang ingin mengetahui status wang disumbangkan sama ada diterima rakyat Palestin atau tidak. Mendedahkan perkara itu, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya menerima lebih 20 aduan membabitkan aktiviti itu, malah ada yang dikesan menjual skaf Palestin dengan harga tertentu biarpun sebenarnya boleh didapati secara percuma. Katanya, selain memungut derma secara terbuka menggunakan kain rentang berkaitan pergolakan di Gaza, ada juga pihak menjadikan pelekat tertentu kononnya sebagai barang jualan bagi membantu mangsa di kawasan bergolak.
“Kami terima aduan ini daripada orang awam yang ingin tahu kepada siapa hasil sumbangan mereka disalurkan kerana menyumbang di tempat terbuka seperti restoran dan kawasan perniagaan lain. “Sebab itu kita rasakan perlu satu pengesahan mengenai usaha menderma ini kerana tidak mahu ada pihak atau kumpulan tertentu mengambil kesempatan di atas kesengsaraan orang lain,” katanya ketika bertemu Duta Palestin ke Malaysia, Abdelaziz Aboughosh di pejabatnya di sini semalam.
Nadzim berkata, sebagai badan bukan kerajaan (NGO) yang turut sama membantu rakyat Palestin sejak sekian lama, PPIM merasakan masyarakat perlu lebih berhati-hati ketika menderma kerana bimbang ditipu pihak tertentu yang mengambil peluang di atas sikap pemurah rakyat Malaysia. Sementara itu, Abdelaziz berkata, pihaknya mengetahui wujudnya situasi itu kerana terlalu banyak tabung derma di atas nama Selamatkan Gaza dan meminta pihak berkuasa menyiasat aduan berkenaan. “Sebagai duta, saya berterima kasih dengan maklumat diberikan PPIM dan menghargai jasa anda membantu negara saya. “Saya juga ingin nasihatkan semua supaya merujuk terlebih dulu dengan kedutaan sekiranya mendapati sesuatu yang mencurigakan.
“Mereka boleh juga melaporkan kepada polis kerana saya difahamkan ada pihak menggunakan kesempatan pergolakan ini untuk mengaut untung,” katanya. Menurutnya, selain Gaza, wilayah lain di Palestin seperti Hebron dan Baitulmaqdis juga memerlukan bantuan dan masyarakat dunia bagi meringankan beban ketika menghadapi konflik.-Metro
0 ulasan:
Catat Ulasan