Singapura Puji Presiden Indonesia Isu Jerebu
SINGAPURA - Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong menyifatkan Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono sebagai pemimpin berhemah tinggi kerana kesediaannya memohon maaf kepada rakyat Singapura dan Malaysia berhubung keadaan berjerebu yang wujud sekarang.
"Kami menerima permohonan maaf beliau dengan sepenuh hati dan menyambut baik janjinya untuk menangani masalah serius ini, yang menyebabkan rakyat Singapura, Malaysia dan Indonesia menanggung derita."
Lee berkata demikian dalam kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri sebagai respons terhadap kenyataan Susilo pada satu sidang akhbar di Jakarta semalam bagi memohon maaf kepada rakyat Singapura dan Malaysia berhubung jerebu yang mereka alami, di samping menyuarakan keazamannya untuk memadamkan kebakaran hutan.
Susilo berkata polis Indonesia akan menyiasat punca kebakaran akibat perbuatan manusia itu dan mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya terhadap mereka yang terlibat.
"Saya harap Indonesia juga akan mengambil tindakan pantas dan berterusan untuk memadam kebakaran hutan dan menghentikan amalan pembersihan kawasan tanah secara haram," kata Lee.
Beliau juga mengulangi tawaran Singapura untuk membantu Indonesia memadam kebakaran itu.
"Singapura sentiasa bersedia untuk bekerjasama rapat dengan Indonesia, Malaysia dan negara lain bagi mengatasi masalah berkaitan jerebu yang melanda rantau ini.
"Kita perlu ambil langkah penyelesaian secara kekal untuk mengelak masalah ini daripada berulang setiap tahun," katanya. - Bernama
0 ulasan:
Catat Ulasan